Sila Pilih Pengadil Yang Lebih Adil - Rahman Darmawan


Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, nyata kecewa dengan mutu pengadilan ketika menyaksikan pasukannya diikat 1-1 oleh Felda United dalam suku akhir pertama Piala Malaysia di Kuala Terengganu, malam tadi.

Menurutnya, beberapa keputusan pengadil, Khirulazuan Kidam, dilihat berpihak kepada pasukan pelawat, termasuk membatalkan jaringan kedua T-Team pada minit ke-70.

“Kami bermain baik malam ini (semalam) dan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi hanya gol pertama kami disahkan pengadil.

“Tiada sebab untuk membatalkan jaringan kedua itu tetapi pengadil sudah membuat keputusan dan secara keseluruhan saya berpuas hati pasukan saya sudah memberikan segala-galanya.”

T-Team mendahului seawal minit kedua menerusi Muhammad Safawi Rasid yang melepaskan rembatan leret dari luar kotak penalti.

Enam minit selepas itu, Dilshod Sharofetdinov hampir memberikan gol kedua tuan rumah, namun sepakan percumanya digagalkan penjaga gol Felda, Mohd Farizal Harun.

Francis Forkey Doe menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-51 apabila menolak masuk bola dalam keadaan kelam-kabut di depan pintu gol T-Team hasil sepakan percuma Mohd Hadin Azman.

Tuan rumah terus mengasak dan hampir mendahului menerusi percubaan Makan Konate dan Mohd Norhakim Hassan, namun tiang menjadi penghalang.

Asakan bertali arus tuan rumah membawa kepada sepakan penjuru pada minit ke-70 yang ditanduk masuk Dilshod, malangnya dibatalkan oleh pengadil.

Pemain tengah, Mohd Asrol Ibrahim, juga gagal menyempurnakan peluang satu lawan satu berdepan Mohd Farizal empat minit sebelum tamat perlawanan.

“Sebelum Forkey Doe menjaringkan gol, dia mengawal bola dengan tangan dan mungkin pengadil buat kesilapan tetapi sehingga tiga, empat kali kesilapan daripada pengadil, itu tak tak boleh diterima.

“Namun, saya harus menerimanya kerana kami juga bersalah kerana tidak memanfaatkan peluang-peluang yang kami ada.

“Memang kami kecewa tetapi walaupun kami tidak suka, kami perlu menghormati keputusan pengadil dan ini sebahagian bola sepak, banyak drama.

“Keputusan 1-1 ini sudah tentu memaksa kami lebih bekerja keras untuk pusingan kedua dan peluang kedua-dua pasukan masih terbuka.

“Hanya satu permintaan saya, pilihlah pengadil yang lebih adil,” tambahnya. - AA