Patutlah TMJ puji Terengganu FC

 

Rombongan Terengganu FC ketika melawat JDT – Foto: Terengganu FC

Kuala Terengganu: Semenjak dua menjak ini, TMJ sering puji dan ucap syabas kepada Terengganu FC, ia tidak lain tidak bukan kerana sikap Terengganu FC yang mengurus dan menjalankan kelab mungkin mengikut nasihat apa yang telah TMJ berikan.

BACA: TMJ ucap syabas kepada Terengganu

Terengganu FC sendiri memberitahu bahawa Johor Darul Takzim FC menjadi benchmark kelab di Malaysia, contoh ikutan kata YB Hishamuddin Abdul Karim melalui temubual bersama sukanz.com, berikut adalah tiga nasihat TMJ yang boleh dikatakan sedang dibuat oleh Terengganu FC yang dipetik di rakan media Sukanz.com.

Tiga Nasihat Yang Diberikan Oleh TMJ Kepada Terengganu FC

Peluang untuk mendengar sendiri penerangan daripada TMJ berkenaan cara baginda menguruskan JDT tidak dipandang remeh oleh rombongan dari negeri yang terletak di pantai timur semenanjung tanah air ini terutamanya Hishamuddin yang juga merupakan Timbalan Jawatankuasa (EXCO) Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu.

Beliau menyimpulkan terdapat tiga nasihat yang diberikan secara tidak langsung oleh TMJ pada ketika itu.

1. Pusat Latihan Yang Sesuai/Lengkap Untuk Pemain

Perkara pertama yang dinasihati oleh TMJ kepada Hishamuddin dan rakan-rakannya pada ketika itu adalah mengenai mengadakan tempat latihan yang sesuai buat pemain. 

Mengakui pusat latihan skuad Harimau Selatan yang terletak di Padang Seri Gelam itu berada dalam kelas tersendiri namun ianya mustahil diikuti dan dibina oleh Terengganu FC setelah pulang daripada lawatan tersebut.

Kekangan kewangan tidak membenarkan mereka berbuat demikian secara drastik.

“Pasukan mesti mempunyai tempat latihan yang betul atau sesuai. Kita (sendiri) telah melihat pusat latihan JDT dan setakat ini kita tidak mampu untuk mengikuti (semuanya), tetapi Terengganu FC telah perbaiki banyak perkara (di tempat latihan) berbanding sebelum ini.” jelas Hishamuddin.

Difahamkan, pusat latihan mereka pada ketika ini akan terus diperbaiki dari semasa ke sesama.


2. Padang Yang Digunakan Untuk Perlawanan

Perkara kedua disentuh oleh TMJ adalah berkenaan padang yang digunakan untuk bermain atau perlawanan. Menyedari padang yang digunakan oleh Terengganu FC sebelum ini bukan dalam keadaan terbaik maka mereka mengambil keputusan untuk memperbaikinya.

“Kita akui Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (gelanggang terdahulu) bukan dalam kondisi yang terbaik. Lanjutan daripada itu, MFL telah bawakan satu pakej program untuk buat pilot project bagi memulihkan padang-padang yang digunakan dalam saingan Liga Super.” katanya.

Seperti kita sedia maklum, sepanjang tahun 2019, mereka giat memperbaiki dan mempertingkat keadaan padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin seterusnya menggunakan stadium tersebut sebagai home baharu untuk musim 2020.

Menurutnya lagi, padang yang menggunakan rumput jenis Bermuda Princess 77 serta telah dibaiki saliran itu telah memberikan satu kelebihan buat TFC apabila beraksi di laman sendiri. Lebih-lebih lagi corak permainan yang diterapkan oleh Nafuzi amat memerlukan padang berkualiti sebegitu.


3. Perbelanjaan Mestilah Mengukur Baju Di Badan Sendiri

Perkara ketiga yang diperkatakan oleh TMJ adalah mengenai perbelanjaan. Hishamuddin berkata, walaupun mereka ‘menuntut ilmu’ dengan JDT yang mempunyai kewangan yang kukuh dan mampu berbelanja besar, perkara ini tidak boleh diikuti oleh Terengganu FC.

“Bila kita berbelanja, saya pesan kepada coach jangan pilih pemain yang mahal-mahal sangat. Dan (syukur) coach Nafuzi amat memahami mengenai perkara ini dan tidak terlalu demand (meminta) untuk dapatkan pemain bintang dan pemain (bergaji) mahal.” ceritanya lagi.

Difahamkan, tahun 2020 mereka hanya berbelanja sekitar RM7 hingga RM8 juta semusim secara kasar untuk skuad utama yang bersaing dalam kancah Liga Super.

Dengan jumlah perbelanjaan tersebut, jika dibandingkan dengan pencapaian Terengganu FC menamatkan saingan di tempat ketiga bagi saingan Liga Super 2020 ianya sudah cukup membuatkan Hishamuddin tersenyum puas lebih-lebih lagi kedudukan 3 teratas merupakan sasaran yang ditetapkannya pada awal musim lalu.

Apa yang boleh dilihat kini, Terengganu FC dengan beraninya melepaskan kesemua pemain import musim ini yang boleh dikatakan penyumbang terbesar jaringan gol pada setiap perlawanan.

Berdasarkan khabar angin pemain import baharu yang akan datang mungkin dapat memberi kesan yang sama seperti musim ini selain menjimatkan kos (bayaran gaji).

Bagi pemain tempatan pula, TFC pada musim depan mempertaruhkan barisan pemain-pemain muda, tetapi jika diselidik mereka datangnya dari pemain dan bekas pemain kebangsaan bawah 23 tahun serta prestasi bersama bekas pasukan musim ini juga boleh dikatakan bagus.

BACA: Senarai pemain Terengganu FC musim 2021

Terengganu FC pada musim ini sememangnya pasukan yang 'mengukur baju dibadan sendiri' apabila kemaskini terbaru mereka di media rasmi sedang menaik taraf fasiliti di padang latihan yang akan menempatkan beberapa ruangan khas buat pasukan bagi kegunaan sebelum dan selepas latihan. 

Ianya termasuklah bilik perbincangan buat barisan kejurulatihan, bilik barisan teknikal pasukan, ruang rakaman, bilik persalinan pemain, bilik penempatan barangan latihan, serta tandas pasukan hanya menggunakan kontena, ia sesuatu yang menarik untuk dinantikan dan semestinya menjimatkan kos.


🏴🏳️ PROSES NAIK TARAF FASILITI PUSAT LATIHAN TERENGGANU FC 🏳️🏴 Pusat latihan pasukan TFC kini dalam proses naik taraf...

Posted by Terengganu Football Club on Thursday, 24 December 2020

Sama-sama nantikan perkembangan Terengganu FC yang membawa misi pada musim depan iaitu 'Win Back Mission' yang sekurang-kurangnya dapat membawa pulang Piala Malaysia seperti yang dikatakan di dialog bersama penyokong baru-baru ini.