THT Sahkan Slot Separuh Akhir Piala Tan Sri P. Alagendra


Kuala Terengganu: Pasukan Hoki Terengganu (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan Sapura mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Tan Sri P. Alagendra dengan menewaskan masing-masing, hari ini.

THT meneruskan kemaraan selepas menewaskan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 3-2 di Stadium Hoki Batu Buruk.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, THT bermula baik apabila mendahului pada minit ke-14 menerusi jaringan padang pemain import, Kim Junghoo.

Pada minit ke-25, tuan rumah dihadiahkan pukulan penalti yang disudahkan Mohd Fitri Saari untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Babak kedua menyaksikan kebangkitan KLHC yang melancarkan serangan bertali arus dan berjaya merapatkan kedudukan 1-2 selepas Nam Hyunwoo menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-39.

Dua minit kemudian, KLHC menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Muhammad Umar Bhutta yang menyambung pukulan Hyunwoo.

Penjaga gol pelawat, Roslan Jamaluddin, beraksi cemerlang apabila menepis dua pukulan sudut penalti berturut-turut THT yang diambil Jang Junghoon.

Junghoon, bagaimanapun, tidak mensia-siakan pukulan sudut penalti seterusnya apabila muncul wira dengan jaringan kemenangan THT empat minit sebelum tamat perlawanan.

Perlawanan di antara TNB dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berlangsung penuh mendebarkan ketika perlawanan menjejaki suku keempat.

Syed Mohamad Syafiq muncul wira TNB apabila menjaringkan gol kemenangan apabila memanfaatkan pukulan sudut penalti tiga minit sebelum wisel penamat untuk menafikan kebangkitan dua gol UniKL pada penghujung saingan.

Sapura pula mara dengan bergaya apabila membelasah ATM Airod 7-0.

Majlis undian bagi peringkat separuh akhir akan diadakan pada Khamis ini.

Keputusan penuh:

UNIKL 2-3 TNB

POLITEKNIK MALAYSIA 1-1 SSTMI (SSTMI menang penentuan penalti 3-0)

THT 3-1 KLHC

ATM AIROD 0-7 SAPURA

- AA