44 Penyokong T-Team FC Hampa Angkara Bas Sesat


KUALA TERENGGANU: Seramai 44 penyokong dari negeri ini berang apabila bas yang membawa mereka naiki 'sesat' sekali gus terlepas memberikan sokongan kepada T-Team dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Sabtu lalu.

Difahamkan, pemandu bas persiaran berusia 20-an dikatakan tidak tahu laluan ke STAR sehingga tersasar ke Jempol, Negeri Sembilan.

Ketua rombongan, Sulong Abdul Rahman, berkata mereka berkumpul dan bertolak dari Chendering, di sini untuk ke Jengka pada kira-kira jam 1.30 petang, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, katanya sebaik tiba di Maran, Pahang beberapa penyokong yang pernah ke STAR memberitahu bas yang mereka naiki tersalah laluan dan bukannya menuju ke stadium.

"Saya sudah memaklumkan kepada pemandu bas, namun tidak dihiraukan sebaliknya meneruskan perjalanan. "Penyokong mula bising apabila bas yang kami naiki sampai ke ke Jempol. Akhirnya, pemandu bas mengakui yang dia tidak tahu jalan untuk ke STAR," katanya kepada BH Sukan, di sini, hari ini.

Penyokong dari Kampung Chendering itu berkata, mereka akhirnya mencari kedai makan di Jempol yang menyediakan skrin besar untuk menyaksikan aksi The Titans sebelum bertolak pulang ke Terengganu, selepas tamat perlawanan.

Katanya, akibat kejadian itu, dia menanggung kerugian tiket sebanyak RM460 dan akan berbincang dengan syarikat itu untuk mengurangkan kos sewa bas kerana apa yang berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu.

"Ini bukan kali pertama saya menyewa bas ini sebaliknya pernah ke Stadium Ipoh, tahun lalu bagi menyaksikan suku akhir Piala FA antara Terengganu dan Perak," katanya. - BH