Terima Kasih Dilshod Sharofetdinov!


T-Team melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia apabila mengejutkan Felda United, 1-0 dalam aksi suku akhir kedua di Jengka, Pahang sekaligus mara dengan agregat 2-1.

Selepas aksi suku akhir pertama dipalit kontroversi pengadil yang berkesudahan 1-1, skuad kendalian Rahmad Darmawan tidak membiarkan pertemuan lalu sebagai satu gangguan apabila mempamerkan permainan kemas sebaik wisel permulaan ditiup.

Perlawanan terikat tanpa jaringan sehinggalah penyerang import T-Team, Dilshod Sharofetdinov muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan di minit ke-78 sekaligus membawa The Titans ke separuh akhir.

Turut menemani T-Team, Kedah, PDRM dan Selangor selepas berjaya menumpaskan lawan masing-masing.

Skuad Lang Merah yang terikat seri tanpa jaringan berdepan Negeri Sembilan di aksi pertama, tampil lebih garang dan agresif untuk melakar kemenangan besar 5-0 di Darul Aman.

Meskipun merekodkan kemenangan 1-0, Kelantan tetap berduka apabila PDRM melangkah ke separuh akhir dengan jaringan gol di tempat lawan selepas melakar kemenangan 2-1 di aksi suku akhir pertama.

Selangor turut mara selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas PKNS FC sekaligus mara dengan agregat 5-3. - SA