Terkejut dan tak sangka dilamar Terengganu FC

 

Kuala Terengganu: Pertahanan muda Terengganu FC (TFC) Azarul Nazarith Azhar, 22 enggan lagi dilabel sebagai 'budak mentah'.


Sebaliknya bekas pemain FELDA United itu yang lebih mesra dipanggil 'Tokek' berazam memperagakan aksi lebih meyakinkan bersama pasukan baharunya itu dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan.


"Sebenar saya terkejut dan tidak menyangka dilamar TFC lebih-lebih lagi skuad itu bakal bersaing di peringkat Asia selain Liga Super.


"Tapi dengan peluang yang diberikan saya tekad untuk membalas kepercayaan itu dengan persembahan terbaik selain mahu memperbaiki corak persembahan kerana sedar saingan pasti sengit apatah lagi TFC antara pasukan digeruni dalam saingan Liga M," katanya kepada Sukan NSTP.


Pemain kelahiran Setapak, Kuala Lumpur itu kini sudah menjalani latihan sejak Isnin lalu bawah kendalian jurulatih, Nafuzi Zain.


Mengulas lanjut, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Wangsa Melawati dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Victoria Kuala Lumpur itu berkata, sebelum ini dua lagi pasukan iaitu Kuala Lumpur dan Pulau Pinang turut berminat untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.


"Tapi keinginan untuk mencuba perkara baharu dalam bola sepak selain percaya TFC boleh membantu pemain muda berada pada tahap terbaik membuatkan saya pilih pasukan dari Pantai Timur ini.

"Selain itu 'lampu hijau' daripada bekas jurulatih, Nidzam Jamil ketika bersama FELDA turut menguatkan lagi keinginan saya memilih TFC.


"Terima kasih pihak pengurusan TFC kerana beri peluang walaupun masih mentah pengalaman kerana baharu musim pertama beraksi dalam saingan Liga Super bersama FELDA United musim ini.


"Jika ditanya impian saya sudah tentu mahukan trofi Liga Super kerana skuad ini belum pernah merangkul gelaran itu selain mahu membantu TFC melangkah lebih jauh dalam saingan Piala AFC," kata pertahanan kiri yang juga bekas produk Program Pembangunan Akademi FELDA United dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM). - Harian Metro