YB Ustaz Hishamuddin dedah punca letak jawatan dan rahsia import baharu

 

Gambar: Terengganu Football Club

KUALA TERENGGANU: Hishamuddin Abdul Karim hari ini mendedahkan punca utama beliau melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkuatkuasa 1 Januari depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh itu berkata, beliau meletak jawatan bukan kerana pertelingkahan atau pun persengketaan dengan mana-mana pihak.

“Walaupun telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PBSNT, saya tetap menjadi keluarga PBSNT dan Terengganu Football Club (TFC).

“Hubungan sesama keluarga pasukan ini tetap utuh dan kukuh. Saya bimbang muncul pelbagai spekulasi yang bukan-bukan. Tangan ghaiblah, apalah. Sebenarnya ia pilihan saya sendiri untuk menumpukan kerja yang lain dan lebih utama.

“Selepas menyampaikan pemakluman notis perletakkan jawatan, saya masih lagi akrab dengan pasukan. Rakan-rakan peminat bola sepak usah bimbang. Malah saya berjanji dengan Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain dan Pengurus TFC, Joe Rozi untuk kekal berdiskusi tentang pasukan jika diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Perletakkan jawatan yang diumum semalam itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat bola sepak dan tidak kurang juga ramai penyokong tidak bersetuju serta sedih dengan pengunduran Hishamuddin yang telah banyak membawa perubahan dalam PBSNT sejak 2018.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Hishamuddin memberitahu, beliau juga sempat bertemu dengan dua pemain import baharu TFC semalam.

“Kehadiran Petrus Shitembi dan Carli de Murga petang kelmarin, sempat juga saya santuni bersama. Sempatlah tengok Petrus aksikan tarian untuk rakaman video,” jelasnya.

Katanya, ketika Sanjar Shakmedov masih bersama TFC, Petrus Shitembi menjadi antara pemain yang disyorkan Sanjar. 

Gambar: PBSNT

“Malah Sanjar pernah menyebut kepada ketua jurulatih, sama ada dia kekal dalam pasukan atau tidak, TFC perlu dapatkan Petrus Shitembi. Sangat berkebetulan pandangan Sanjar dengan pemerhatian Nafuzi Zain sendiri, akhirnya Petrus Shitembi berjaya diikat TFC.

“Ketua Jurulatih turut menghidu prestasi bekas pertahanan skuad kebangsaan Filipina berkelahiran Sepanyol, Carli de Murga. Sebelum ini sebagai pemain kelab Chonburi FC. Usaha memperkukuhkan pertahanan antara yang disusun oleh Ketua Jurulatih untuk musim depan. 

“Kedua-dua pemain import baru ini akan berada di tapak Padang Latihan TFC pada petang ini untuk memulakan latihan pertama bersama pasukan,” tambah beliau. [Sumber :- trdi.my (Husaif Mamat)]