Bekas pemain kelab EPL sah sarung jersi Terengganu FC

 

Chris Herd (31) sewaktu beraksi bersama Aston Villa, sah sarung jersi Terengganu FC musim depan

Kuala Nerus: Pemain yang pernah beraksi bersama Aston Villa berasal dari Australia, Christopher Herd sah sarung jersi Terengganu FC musim depan.

Berdasarkan rekod, bekas pemain kebangsaan Australia berketinggian 1.73 meter yang juga mampu beraksi di posisi tengah itu adalah produk keluaran Akademi Bolasepak Aston Villa sebelum menyarung jersi kelab itu selama lima musim bermula 2010 dengan merekod 36 penampilan dan meledak satu gol.

Herd juga pernah dipinjamkan kepada dua lagi kelab dalam saingan EPL iaitu Bolton Wanderers pada 2014 dan Wigan Athletic setahun kemudian.

Pemain itu juga tidak asing lagi dalam pentas bola sepak Asia dan Asean apabila pernah menyarung jersi pasukan Liga Divisyen Satu Thailand pada 2018, Buriram United sebelum berhijrah ke Liga India setahun kemudian dengan menyarung jersi kelab Chennaiyin dan musim ini beraksi bersama pasukan Sheikh Russel dalam Liga Bangladesh.