Kuala Terengganu: Berikutan aksi hambar dipamerkan penyerang utama Terengganu FC (TFC), David Da Silva dalam dua aksi terakhir Liga Super, ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain mengharapkan peminat setia skuad Penyu tidak menghukum penyerang import itu.
Sebaliknya Nafuzi yang berkeyakinan dengan kelibat penyerang kelahiran Brazil itu menuntut peminat setia memberi peluang kepada pemain itu untuk membuktikan kemampuan sebenarnya.
Kata Nafuzi, pemain berusia 31 tahun itu bergelut untuk memperagakan aksi sebenar kerana masalah kecergasan berikutan baharu pulih daripada kecederaan.
"Saya akui prestasi Da Silva belum mencapai tahap 100 peratus ketika diturunkan bertemu Kedah dan terbaharu, Kuala Lumpur City FC pada Jumaat lalu.
"Tapi dia seorang pemain yang berpengalaman dan pernah bermain dengan baik, malah kami tahu kualiti yang dimilikinya sebagai seorang penjaring gol.
"Bagaimanapun berikutan masalah kecergasan kerana baharu pulih daripada kecederaan, dia memerlukan sedikit masa lagi untuk kembali menemui sentuhan sebenarnya," kata Nafuzi.
Terdahulu pada aksi Jumaat lalu, peminat setia skuad TFC berang dengan prestasi penyerang utama itu selepas gagal beraksi sebagaimana yang diharapkan.
Berikutan itu terdapat peminat setia skuad itu membandingkan penyerang skuad 'adik', Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah lebih baik berbanding Da Silva walaupun rekod jaringannya menunjukkan dia peledak berbisa selepas menjaringkan 35 gol dalam 45 perlawanan ketika membantu Persebaya Surabaya muncul naib juara Liga Indonesia pada 2019.
TFC yang kini menghuni di tangga kedua liga bakal membuat perhitungan dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru, Sabtu ini.